Tuesday, July 28, 2009

Dilambai tak nampak, diseru tak dengar.

25 Nasihat Luqman Al-hakim Kepada Anaknya

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

ayat 12; Surah Luqman

1. Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

2. Hai anakku; orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

4. Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan oleh mu, maka marahnya ibubapa terhadap mu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5. Hai anakku; Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Hai anakku; Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

7. Hai anakku; seseorang pendusta akan lekas/cepat hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian/nasihat kepada orang yang tidak mahu mengerti atau mendengar nasihat.

8. Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10. Hai anakku; Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang merbahaya.

11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Hai anakku; janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan apa sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan apa saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Hi anakku; Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17. Hai anakku; selalulah baik tuturkata dan halus budi-bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Hai anakku; Jadikanlah dan jagalah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan celaan pada dirimu.

20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Hai anakku; Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata-kata yang mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dari berkata-kata kotor tentu akan menyesal.



24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur yang selalu disirami air hujan.

25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya
untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.



Tuesday, July 21, 2009

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

"Restoran Berahi" Tidak Wujud, Kata Polis
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.

Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.

"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.

"Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.

Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.

Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.


Terbabit maksiat : Petugas masjid digantung tugas

MELAKA: Gara-gara pembabitannya dengan aktiviti gelap, seorang kakitangan sebuah masjid di negeri ini terpaksa akur apabila digantung tugas selepas ditukar ke bahagian pengurusan di jabatan agama Islam negeri.

Sumber berkata, pembabitan lelaki berusia 40-an itu dengan aktiviti berkenaan terbongkar apabila dia ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam satu serbuan di sebuah hotel di pusat bandar.

Menurutnya, dalam operasi pada 11 Jun lalu, lelaki terbabit yang sudah berkahwin ditahan bersama-sama pelacur warga Uzbekistan di dalam bilik hotel kira-kira jam 9.40 malam ketika polis menjalankan operasi membanteras pelacuran.

-sumber dari Harian Metro 20 Julai 2009.


Dua berita yang berbeza…tapi ianya datang dari satu sumber.
Pertama, dua wartawan disoal siasat atas berita mengenai ‘Restoran Berahi’ yang tidak pernah wujud.Bagaimana satu berita yang begitu besar boleh disiarkan pada 19hb Julai Harian Metro tanpa pengetahuan Ketua Editornya? Berita yang tak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan ribuan pembaca merasa resah.
Pernah satu masa dulu kita digemparkan oleh berita mengenai ramainya orang melayu telah dimurtadkan disebuah gereja di Ipoh,Perak.Apabila disiasat berita ini tidak benar samasekali.

Kedua, kenapa wartawan HM seolah-olah tidak berapa jelas dengan berita yang dilaporkan.Kenapa tak dijelaskan kakitangan masjid mana? Masjid Negeri kah,Masjid Bukit Barukah atau Masjid Alor Gajahkah…Apa jawatan kakitangan itu,samada Imam,Bilal atau Noja…
Biarlah jelas bila ingin membuat laporan,jangan sekadar untuk mencari sensasi.Wartawan jangan ikut syok sendiri,nak glamour tapi langsung tak beretika.

Tuesday, July 14, 2009

SATU RENUNGAN



Selasa, 2009 Julai 14
KISAH ANJING DAN BAYANG-BAYANG

Banyak pihak cuba mengeksploitasi sikap tamak manusia, kaedah digunakan pelbagai, termasuk pelaburan. Kata mereka, laburkan RM1, setiap bulan pelabur dibayar 20 sen. Dalam tempoh 3 bulan, wang RM1 kononnya ‘membiak’ menjadi RM1.60. Bulan pertama, 20 sen dibayar, begitu juga pada bulan kedua. Bulan ketiga pihak menipu melarikan diri, lesap bersama wang baki 60 sen. Begitu modus operandi mereka meraih keuntungan dalam tempoh singkat.Kejadian seperti itu berulang. Tetapi tidak ramai anggota masyarakat belajar daripada kesilapan orang lain. Mereka ‘terkena’ dahulu kemudian belajar atas kesilapan sendiri.Terkini, artis tanahair tertipu, antara mereka, Amy Search, Hattan, Awie dan Misha Omar selain mangsa lain, golongan profesional dan personaliti TV. Jumlah kerugian Amy dan Hattan, 1.5 juta ringgit. Saya percaya sebilangan mangsa terbabit mendiamkan diri, berasa malu tampil untuk membuat laporan polis.Jumlah kerugian keseluruhan ditaksir lebih 432 juta ringgit. Mangsa disogok tawaran pelaburan pembelian saham dalam syarikat rokok antarabangsa dan dijanjikan keuntungan mencecah 50% dalam tempoh singkat, antara 10 dan 30 hari. Rambang mata, mereka semua terpedaya.Penjenayah diburu polis Malaysia dan Interpol, Rohaniza Aladib, 31 tahun, kini dipercayai melarikan diri ke Australia mungkin sedang bersenang-lenang, tersenyum membelanjakan wang hasil titik peluh penipuannya. Mujur mangsa, golongan berwang, bukan petani kampung mahupun pekerja kilang.Bagi saya, Rohaniza penjenayah bijak. Bijak mengeksplotasi sikap tamak golongan sasarannya.Benar kata pepatah Melayu lama, orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang. Tamak, terlihat bayang tulang di air, tulang digonggong erat dilepaskan. Akhirnya melopong, kerugian, tulang jatuh ke air dalam.Apapun sekiranya Rohaniza bertindak bodoh, masih berada di negara ini tanpa membuat pembedahan plastik, jika ternampak, hubungan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di talian 03 2616 3747 atau 019 6000803.
Kadang-kadang janji yang ditaburkan sangat manis sehingga membuat kita mudah terpedaya.RAYSS juga tidak terlepas dari tempias mangsa penipuan,penyamaran dan manipulasi seperti berlaku baru-baru ini menyamar wartawan NTV 7.Syukurlah segala kekusutan dapat dileraikan secara professional oleh insan-insan yang bertanggungjawab.

Monday, July 13, 2009

Lelaki Menyamar Wartawan Dijatuhi Hukuman Penjara Tiga Tahun

MELAKA, 13 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 31 tahun Isnin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah kerana menyamar sebagai wartawan sebuah televisyen tempatan pada awal bulan ini.

Majistret Muhammad Faizal Ismail memerintahkan Zulkifli Atan dari Batu Caves, Selangor, menjalani hukuman itu mulai hari ini.

Mengikut fakta kes, Zulkifli telah memperkenalkan dirinya sebagai wartawan stesen televisyen NTV7 sehingga mendorong seorang petugas, Maznah Abdol, dari Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, untuk mempercayai beliau sebagai wakil dari stesen itu.

Zulkifli didakwa melakukan kesalahan itu rumah anak yatim berkenaan di KM17, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini, pada 3 Julai lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili oleh peguam, didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan dihukum mengikut Seksyen 419 akta yang sama.

Pendakwaan dijalankan oleh Insp. Muhamad Juhari Harun.

--sumber BERNAMA