Tuesday, July 21, 2009

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

"Restoran Berahi" Tidak Wujud, Kata Polis
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.

Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.

"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.

"Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.

Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.

Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.


Terbabit maksiat : Petugas masjid digantung tugas

MELAKA: Gara-gara pembabitannya dengan aktiviti gelap, seorang kakitangan sebuah masjid di negeri ini terpaksa akur apabila digantung tugas selepas ditukar ke bahagian pengurusan di jabatan agama Islam negeri.

Sumber berkata, pembabitan lelaki berusia 40-an itu dengan aktiviti berkenaan terbongkar apabila dia ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam satu serbuan di sebuah hotel di pusat bandar.

Menurutnya, dalam operasi pada 11 Jun lalu, lelaki terbabit yang sudah berkahwin ditahan bersama-sama pelacur warga Uzbekistan di dalam bilik hotel kira-kira jam 9.40 malam ketika polis menjalankan operasi membanteras pelacuran.

-sumber dari Harian Metro 20 Julai 2009.


Dua berita yang berbeza…tapi ianya datang dari satu sumber.
Pertama, dua wartawan disoal siasat atas berita mengenai ‘Restoran Berahi’ yang tidak pernah wujud.Bagaimana satu berita yang begitu besar boleh disiarkan pada 19hb Julai Harian Metro tanpa pengetahuan Ketua Editornya? Berita yang tak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan ribuan pembaca merasa resah.
Pernah satu masa dulu kita digemparkan oleh berita mengenai ramainya orang melayu telah dimurtadkan disebuah gereja di Ipoh,Perak.Apabila disiasat berita ini tidak benar samasekali.

Kedua, kenapa wartawan HM seolah-olah tidak berapa jelas dengan berita yang dilaporkan.Kenapa tak dijelaskan kakitangan masjid mana? Masjid Negeri kah,Masjid Bukit Barukah atau Masjid Alor Gajahkah…Apa jawatan kakitangan itu,samada Imam,Bilal atau Noja…
Biarlah jelas bila ingin membuat laporan,jangan sekadar untuk mencari sensasi.Wartawan jangan ikut syok sendiri,nak glamour tapi langsung tak beretika.

No comments: